MENCARI KESEIMBANGAN DALAM PEMBAHARUAN
Skim pencen telah lama menjadi tanda penghargaan kepada penjawat awam atas khidmat mereka kepada negara. Namun, kebimbangan terhadap kesinambungan kewangan semakin mendesak. Sampai bilakah kerajaan mampu mengekalkan sistem ini tanpa menjejaskan kestabilan fiskal kewangan negara? Bagi menangani cabaran ini, kerajaan sedang meneroka alternatif bagi memastikan keseimbangan antara kesejahteraan penjawat awam dan kelestarian ekonomi negara. Langkah awal yang telah diambil sementara kajian ini dilaksanakan adalah dengan pelantikan pegawai kontrak interim bagi lantikan baharu perkhidmatan awam.
Setiap perubahan kepada sistem sedia ada akan menimbulkan pelbagai reaksi dan tindak balas seperti ketidakpuasan hati, kerisauan dan kekeliruan dalam kalangan penjawat awam. Pengenalan sesuatu dasar yang baharu akan mengambil masa sebelum ia dapat diterapkan dalam sistem kerja penjawat awam. Oleh itu, perubahan dasar seperti skim caruman memerlukan kajian dan penelitian daripada pelbagai aspek sebelum dapat dilaksanakan oleh kerajaan. Kajian ini amat penting bagi mencari keseimbangan dan mengurangkan kekeliruan kepada penjawat awam. Dasar ini bukan sahaja akan mengubah struktur gaji dan faedah tetapi juga memberi dimensi baharu kepada penjawat awam sewaktu berkhidmat serta kebajikan mereka apabila bersara kelak.
Contoh terdekat adalah caruman kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), kaedah ini telah lama diamalkan oleh pihak swasta kerana lebih fleksibel dan memberi banyak manfaat kepada pencarum sepanjang tempoh bekerja dan selepas bersara. KWSP membolehkan pencarum mengakses dana yang diperlukan semasa mereka masih bekerja seperti membayar yuran pengajian anak dan untuk pembelian rumah baharu. Pengeluaran juga boleh dilakukan ketika pencarum memerlukan wang seperti dalam situasi pandemik COVID-19 yang menyaksikan kerajaan telah membenarkan pengeluaran khas bagi membantu mereka mendapatkan barangan asas. Singapura, Brunei dan Maldives telah menyelaraskan skim simpanan pekerja antara sektor awam dan swasta di bawah satu skim caruman. Pendekatan berkenaan telah banyak membantu negara berkenaan untuk memastikan kecekapan perbelanjaan kerajaan masing-masing selain menjamin kelestarian ekonomi mereka dalam jangka panjang.
Generasi penjawat awam baharu iaitu generasi Y dan Z mementingkan keseimbangan antara kerja dan kehidupan. Generasi ini melihat kestabilan bukan sekadar dalam bentuk pencen tetapi juga peluang pelaburan dan kebebasan mengurus kewangan sendiri berbanding generasi terdahulu yang lebih menitikberatkan kestabilan pekerjaan dan jaminan selepas persaraan melalui ganjaran wang pencen.
Dasar baharu caruman ini diharapkan dapat membantu penjawat awam agar lebih celik belanja, mengurangkan bebanan untuk berhutang dan memberi peluang kepada mereka untuk merancang lebih awal kewangan mereka berbanding hanya merancang semasa hendak bersara. Ia juga diharapkan dapat membantu mengurangkan kes-kes kehilangan segala simpanan persaraan kepada penipuan yang modus operandinya tertumpu kepada pesara kerajaan.
Dalam hal ini, kerajaan sentiasa memastikan masa depan penjawat awam terus terjamin dalam ekosistem ekonomi yang sentiasa berubah. Dijangkakan segala permasalahan, isu, kerisauan, kekeliruan serta ketidakpuasan hati akan diambil maklum dan diambil kira kerana usaha ini adalah langkah kerajaan dalam mencari keseimbangan dalam pembaharuan.
Pembaharuan sememangnya bakal berdepan pelbagai onak serta duri namun kerajaan dan prinsip yang diamalkan oleh jabatan peneraju akan menjaga hak sedia ada penjawat awam. Di samping itu juga, dasar caruman ini diharapkan dapat memberi ruang yang sesuai dengan kehendak semasa penjawat awam terutama generasi Y dan Z untuk menguruskan kewangan mereka dengan lebih cekap semasa masih berkhidmat berbanding selepas tamat perkhidmatan. Seperti rebung menggantikan buluh, pembaharuan ini perlu dilaksanakan demi kesejahteraan selain membantu kelestarian ekonomi negara.