PROGRAM PRESTIJ MELAHIRKAN PAKAR DALAMAN SEKTOR AWAM
Dalam mendepani era globalisasi dan kemajuan teknologi yang pesat, modal insan sektor awam perlu diperkasakan secara menyeluruh. Memetik saranan YAB Perdana Menteri dalam Majlis Anugerah Inovasi Perdana Sektor Awam (AIPSA) 2023 pada 7 Nov 2023, kerajaan berhasrat untuk memberikan pendedahan kepada pegawai perkhidmatan awam bagi meningkatkan kemahiran dan kepakaran dalam bidang-bidang tujahan baharu yang dikenal pasti seperti kecerdasan buatan (AI), peralihan tenaga, transformasi digital, keselamatan makanan, pengurusan bencana, keselamatan siber dan persempadanan negara.
Kolaborasi Strategik
Susulan itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebagai agensi pusat yang bertanggungjawab melaksanakan program latihan kepada penjawat awam telah menawarkan program baharu mulai tahun 2024 iaitu Program Accelerated Course for Competency Excellence (ACE) yang kini dijenamakan sebagai Program Pembangunan Kepakaran dan Perunding Kerajaan (PRESTIJ).
Fokus utama program ini adalah untuk membangunkan kepakaran dalaman dalam perkhidmatan awam bagi mengurangkan kebergantungan kepada perunding luar serta mengoptimumkan penggunaan peruntukan kerajaan.
Pendedahan secara langsung melalui latihan berbentuk hands-on yang dilaksanakan secara strategik dengan kerjasama industri dan institusi latihan di dalam dan luar negara merupakan nilai tambah kepada pelaksanaan program ini.
Pegawai yang mengikuti program ini perlu menyempurnakan projek, program atau inisiatif berimpak tinggi merentasi keperluan kementerian dan seterusnya menjadi pakar rujuk dalam bidang berkaitan.
Pada tahun 2024, seramai 88 orang pegawai menerima manfaat daripada program ini yang mana tujuh siri program telah dilaksanakan di United Kingdom, India, China dan Australia.
Setiap pegawai membentangkan hasil projek/inisiatif masing-masing susulan daripada pendedahan dan latihan yang diberikan sepanjang program dan terus dilaksanakan mengikut bidang fungsi kementerian masing-masing dalam usaha meningkatkan penyampaian perkhidmatan awam.
Bagi tahun 2025, sehingga bulan Julai, seramai 87 orang pegawai telah menyertai program PRESTIJ, iaitu 65 orang menyertai program berkaitan bidang AI, manakala 22 orang pegawai menyertai program berkaitan bidang pertanian dan teknologi makanan.
Program ini dilaksanakan secara hibrid di dalam dan luar negara yang secara langsung memberikan perspektif global serta amalan terbaik yang boleh diadaptasi kepada konteks Malaysia.
Pulangan Kepada Negara
Dengan lahirnya kepakaran dalaman melalui program ini, kebergantungan kepada khidmat perunding luar dapat dikurangkan secara signifikan.
Ini membawa kepada penjimatan kos operasi kerajaan yang mana peruntukan tersebut boleh disalurkan semula kepada program-program pembangunan rakyat seperti bantuan kewangan, subsidi, pendidikan dan kebajikan sosial.
Kepakaran yang diperoleh dalam bidang seperti digitalisasi, AI dan keselamatan siber membolehkan pegawai awam memacu inisiatif transformasi digital dalam kerajaan.
Ini menyumbang kepada pembangunan aplikasi dan sistem pintar yang memudahkan urusan rakyat dan meningkatkan ketelusan.
Hasilnya, pegawai bukan sahaja membawa pulang kemahiran teknikal baharu, tetapi turut menyumbang kepada inovasi organisasi, keberkesanan dasar dan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap serta responsif kepada keperluan rakyat.
Program PRESTIJ merupakan antara contoh terbaik pelaburan strategik dalam pembangunan modal insan sektor awam yang memberi pulangan tinggi kepada kerajaan dan rakyat.
Ia selari dengan aspirasi negara untuk melahirkan penjawat awam berprestasi tinggi, berwawasan global dan mampu menerajui perubahan dalam landskap perkhidmatan awam abad ke-21.