PBU AKADEMIK JPA: PELABURAN PINTAR UNTUK MASA DEPAN
Aspirasi Ihsan MADANI
Seiring dengan hasrat memperkukuh pembangunan negara melalui modal insan yang cemerlang, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memperkenalkan model penajaan baharu yang lebih progresif, iaitu Pinjaman Boleh Ubah Berasaskan Merit Akademik (PBU Akademik) menggantikan model sebelum ini dikenali sebagai Pinjaman Boleh Ubah Berasaskan Merit Tempat Berkhidmat (PBU 2016).
Inisiatif ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam menambah baik dasar penajaan agar lebih kompetitif, inklusif, dan mampan, sejajar dengan keperluan semasa pendidikan tinggi negara.
Kos pendidikan tinggi yang semakin meningkat memerlukan mekanisme penajaan yang bukan sahaja meringankan beban kewangan pelajar, tetapi juga menjamin pulangan strategik kepada pelaburan negara.
Sebagai agensi utama dalam penajaan pendidikan, JPA memainkan peranan penting dalam memastikan pelajar cemerlang dari seluruh pelosok negara memperoleh peluang menyambung pengajian tanpa halangan kewangan, selari dengan semangat hormat dan kasih sesama insan yang dituntut oleh Rukun Ihsan MADANI.
Namun begitu, berdasarkan statistik hanya sekitar 10 peratus sahaja pelajar tajaan JPA berjaya dilantik ke sektor awam. Ini jelas menunjukkan peluang pelajar mendapat pengecualian penuh bayaran balik pinjaman adalah terhad, dan proses pelantikan itu sendiri adalah di luar kawalan pelajar.
Bagi pelajar yang berkhidmat di Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan syarikat swasta dalam negara, mereka hanya layak diberikan kemudahan bayaran balik masing-masing sebanyak 25 peratus dan 50 peratus sahaja daripada nilai pinjaman.
Situasi ini mewujudkan tekanan kewangan besar kepada pelajar, khususnya apabila mereka mempunyai obligasi untuk membayar balik pinjaman dalam jumlah yang tinggi sebaik sahaja menamatkan pengajian.
Sebagai contoh, seorang pelajar yang ditaja pengajiannya di United Kingdom dengan jumlah pinjaman RM1 juta dan bekerja di syarikat swasta selepas tamat pengajian, perlu membayar balik sebanyak RM1,400 sebulan selama 30 tahun - suatu bebanan yang tidak selari dengan prinsip Ihsan MADANI.
Prestasi Cemerlang Harus Dihargai
Statistik menunjukkan 99 peratus pelajar tajaan JPA menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.00 ke atas. Apa yang lebih menarik, 75 peratus daripada pelajar tajaan JPA memperoleh PNGK 3.50 ke atas.
Ini jelas membuktikan bahawa prestasi akademik pelajar tajaan JPA adalah sangat memberangsangkan, dan seharusnya dijadikan asas dalam pemberian insentif serta pengecualian bayaran balik yang lebih baik.
Menerusi PBU Akademik, pelajar akan dikenakan kadar bayaran balik yang berbeza bergantung kepada prestasi akademik mereka. Pelajar yang menamatkan pengajian dengan PNGK antara 3.75 hingga 4.00 tanpa sebarang pelanjutan tempoh pengajian hanya perlu membayar balik lima peratus daripada keseluruhan pinjaman.
Bagi PNGK 3.50 hingga 3.74 pula, kadar bayaran balik adalah 10 peratus, manakala PNGK 3.00 hingga 3.49 dikenakan 15 peratus bayaran balik. Sekiranya pelajar melanjutkan tempoh pengajian, kadar bayaran balik ialah sebanyak 20 peratus.
Pelajar yang memperoleh PNGK di bawah 3.00 atau gagal menamatkan pengajian perlu membayar semula 100 peratus daripada jumlah pinjaman yang diterima.
Bidang Kritikal: “Taja untuk Berkhidmat”
Kemudahan bayaran balik pinjaman mengikut pencapaian akhir akademik tidak terpakai kepada pelajar perubatan, pergigian dan farmasi (PPF).
Sebaliknya, bagi pelajar PPF yang dikategorikan sebagai bidang kritikal, mereka perlu berkhidmat dengan sektor awam dalam tempoh ditetapkan selepas tamat pengajian untuk mendapat pengecualian penuh bayaran balik pinjaman. Pelajar perubatan perlu berkhidmat selama lima tahun, manakala bagi bidang pergigian dan farmasi, tempoh berkhidmat yang ditetapkan ialah tiga tahun.
Penetapan syarat ikatan berkhidmat dengan kerajaan ini adalah atas prinsip “taja untuk berkhidmat”, yang mana penajaan pelajar dalam tiga bidang ini memberi kesan yang signifikan terhadap penyampaian perkhidmatan dalam sektor kesihatan.
Selepas memenuhi syarat ini, mereka bebas untuk memilih kerjaya dalam mana-mana sektor tanpa menyalahi perjanjian pinjaman. Namun, pelajar tetap digalakkan untuk terus berkhidmat dengan kerajaan selama mana yang mereka boleh.
Model Baharu Lebih Mesra Pelajar
Berbanding model terdahulu, PBU Akademik memberikan kadar bayaran balik yang lebih rendah, iaitu antara lima peratus hingga 20 peratus sahaja. Malah, pelajar bidang bukan kritikal juga berpeluang mendapat pengecualian bayaran balik sekiranya dilantik ke sektor awam dalam jawatan yang setaraf.
Tambahan pula, mereka tidak lagi terikat untuk bekerja kerajaan, GLC atau sektor swasta, sekali gus memberikan mereka kebebasan memilih kerjaya berdasarkan minat dan kebolehan.
PBU Akademik akan memberi manfaat kepada 11,250 pelajar tajaan baharu pada tahun 2025.
Selain itu, lebih 80 ribu pelajar yang ditaja di bawah model PBU 2016 turut akan menikmati faedah daripada penambahbaikan ini melalui pelaksanaan opsyen penukaran kepada PBU Akademik yang akan dibuka secara berperingkat mulai 1 Januari 2026.
Peranan IPT, Komitmen Kerajaan
Menerusi sistem penajaan yang berasaskan prestasi akademik ini, institusi pengajian tinggi (IPT) disaran memainkan peranan penting dalam kejayaan pelaksanaan PBU Akademik.
IPT digesa menyediakan sokongan akademik yang konsisten dan berkesan agar pelajar tajaan JPA dapat mengekalkan kecemerlangan sepanjang pengajian mereka.
Kerajaan melalui JPA kekal komited untuk melaksanakan penambahbaikan secara berterusan, merangkumi pembangunan sistem digital yang menyeluruh, pemantauan prestasi pelajar secara sistematik, serta pelaksanaan mekanisme kutipan balik pinjaman yang lebih cekap dan mesra peminjam.
Usaha ini memperkukuh nilai akauntabiliti dalam pengurusan dana awam, selaras dengan prinsip tadbir urus yang berintegriti dan berorientasikan rakyat.
PBU Akademik bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi juga suatu ganjaran meritokrasi yang memberi kuasa kepada pelajar untuk menentukan sendiri nilai pelaburan pendidikan mereka.
Ia mencerminkan keyakinan kerajaan terhadap keupayaan pelajar untuk mencipta kejayaan atas daya usaha dan keazaman sendiri.