Artikel

Pembangunan Modal Insan

PROGRAM DERMASISWA B40: IHSAN MADANI DALAM MENYANTUNI HARAPAN ANAK BANGSA

  • 30/07/2025 12:00 PM

Pada masa kini, peluang untuk melanjutkan pengajian terbuka luas sama ada di institusi awam mahupun swasta. Namun, bagi anak-anak dari golongan berpendapatan rendah B40 adalah mencabar bagi mereka untuk menggapai peluang ini dengan kekangan pendapatan keluarga.

Keluarga B40 di Malaysia merujuk kepada 40 peratus isi rumah terendah yang mempunyai pendapatan bulanan terendah. Golongan ini menghadapi cabaran kewangan dan mungkin bergantung kepada bantuan kerajaan untuk kelangsungan hidup.

Penting bagi kerajaan untuk memahami cabaran mereka dalam merangka dasar dan inisiatif yang berkesan untuk membantu meningkatkan kesejahteraan mereka.

Pelajar B40 Diberi Perhatian

Program DB40 ini mula diperkenalkan oleh JPA di bawah Model Baharu Penajaan pada tahun 2016. Program penajaan ini berbentuk dermasiswa dan fokus kepada para pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah iaitu golongan B40 yang ingin melanjutkan pengajian di peringkat diploma dalam bidang kejuruteraan dan teknikal/teknologi, sains dan sains sosial/sastera dan seni bina di institusi pendidikan tinggi dalam negara.

Secara umumnya, program ini dilaksanakan untuk meningkatkan akses kepada pendidikan tinggi dan latihan kemahiran bagi pelajar dalam kalangan keluarga B40 sebagai strategi untuk meningkatkan pendapatan isi rumah dan mengutamakan kebolehpasaran siswazah.

Dari tahun 2016 hingga 2024, sebanyak 27,457 pelajar telah menerima manfaat daripada program DB40 ini yang mana penawaran tertinggi adalah pada tahun 2024 iaitu sebanyak 6,891 pelajar. Daripada jumlah keseluruhan pelajar, sebanyak 9,754 orang pelajar telah menamatkan pengajian dengan jayanya.

Pelajar yang ditaja di bawah program ini bukan sahaja berupaya menyumbang kepada keperluan pembangunan negara, malah berperanan dalam mewujudkan keseimbangan sosioekonomi menerusi pemerkasaan mobiliti sosial keluarga B40.

Anak-anak daripada latar belakang kurang berkemampuan yang dahulunya tidak pernah terbayang untuk melanjutkan pengajian ke menara gading kini mampu mengubah nasib diri dan keluarga melalui ilmu dan kemahiran yang diperoleh.

Menyantuni dan Memberi Motivasi

Program DB40 bukan sekadar menaja malah menyantuni. JPA melaksanakan program outreach dan pemantauan untuk memastikan pelajar tajaan JPA bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi turut membangun secara holistik.

JPA bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi untuk memantau prestasi dan kesejahteraan mental pelajar, memberikan sokongan motivasi untuk pelajar memberikan komitmen dalam pengajian dan Graduate on Time (GOT).

Pelajar-pelajar juga dapat meningkatkan semangat kesukarelawanan dan membangunkan sahsiah diri melalui penglibatan dalam Program Sukarelawan Pelajar Tajaan JPA. Sesi libat urus dan kolaborasi strategik bersama agensi kerajaan dan swasta turut dilaksanakan dalam meningkatkan kebolehpasaran siswazah tajaan JPA.

Kesimpulannya, melalui Program DB40, tiada golongan yang terpinggir dalam peluang melanjutkan pengajian. Setiap anak Malaysia, tanpa mengira latar belakang sosioekonomi, berhak menerima peluang pendidikan.

Selaras dengan tema Bulan Kemerdekaan tahun ini, “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni”, program ini menjadi wadah kepada anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah untuk menggapai impian pendidikan tinggi, sekali gus membina masa depan yang lebih cerah.